SIRI 2C - Manuskrip Khizanah Al Qarawiyyin

Поділитися
Вставка
  • Опубліковано 4 жов 2024
  • Bandar Fez merupakan sebuah bandar tertua di Morocco yang diasaskan pada tahun 172H bersamaan dengan 789M oleh Raja Idris bin Abdullah daripada Dinasti Kerajaan al-Adarisah. Di bandar ini terdapat sebuah khizanah ataupun perpustakaan yang yang disebut dengan Khizanah al-Qarawiyyin.
    Khizanah al-Qarawiyyin merupakan sebuah sebuah perpustakaan yang tertua di Dunia Islam. Khizanah al-Qarawiyyin ini mempunyai hubungan rapat dengan Universiti al-Qarawiyyin, iaitu universiti tertua di dunia. Khizanah al-Qarawiyyin diasaskan pada pertengahan kurun ke 8 hijrah secara tepatnya pada 750H dengan arahan salah seorang raja Morocco yang bernama Sultan Abu ‘Inan al-Marini.
    Di dalam perpustakaan ini terkandung manuskrip-manuskrip Islam nadir dan yang sangat bernilai tinggi dari segi sejarahnya. Sebahagian daripada tajuk-tajuk manuskrip yang terdapat di sini tidak dapat diperolehi di tempat-tempat penyimpanan manuskrip yang lain di seluruh dunia.
    Sebahagian besar manuskrip-manuskrip yang berada dalam Khizanah al-Qarawiyyin adalah yang dimiliki oleh raja-raja Morocco. Merekalah yang menyimpan dan mewakafkan manuskrip-manuskrip berkenaan di dalam khizanah iaitu perpustakaan berkenaan sejak zaman berzaman. Ini jelas menunjukkan tentang kualiti dan kedudukan nilai manuskrip-manuskrip ini dari segi keilmuan dan sejarah. Selain daripada itu, yang turut menyumbang manuskrip ke dalam khizanah ini adalah golongan ilmuwan dalam pelbagai cabang ilmu dan pengetahuan.
    Terdapat hampir 4000 manuskrip dalam pelbagai cabang ilmu dalam khizanah berkenaan. Manuskrip-manuskip yang terdapat di Khizanah al-Qarawiyyin ini boleh dikategorikan kepada 3 kelompok besar iaitu Fiqh Maliki, Aqidah dan Tasawuf.
    Selain daripada itu, terdapat juga di Khizanah al-Qarawiyyin ini manuskrip-manuskrip al-Quran, pelbagai ilmu dalam bidang Bahasa Arab, ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu falak, falsafah, ilmu matematik, sejarah, catatan pengembaraan, ilmu perubatan dan lain-lain lagi. Antara manuskrip yang sangat bernilai yang terdapat di dalam Khizanah al-Qarawiyyin adalah karangan ahli falsafah dan pakar perubatan Ibn Tufayl. Karangan beliau ini dikenali dengan judul “al-Arjuzah al-Tibiyyah” yang mengandungi 7000 bait-bait syair tentang pelbagai penyakit yang terdapat pada zaman beliau, simptom-simptom penyakit berkenaan serta cara rawatannya. Apa yang menarik, ia merupakan satu-satunya naskhah tunggal yang terdapat di dunia ini yang kembali kepada kurun ke 12 Masihi.
    Selain daripada itu, terdapat manuskrip berjudul “Kitab al-‘Ibar” yang merupakan mukadimah kepada kitab “Muqadimmah Ibn Khaldun”. Ia merupakan naskhah yang paling sahih yang diwakafkan sendiri oleh Ibn Khaldun ketika beliau bermukim dan mengajar di bandar Fez.
    Pada naskhah berkenaan terdapat tandatangan beliau, terdapat di khizanah ini juga, satu naskhah manuskrip al-Quran atas kulit rusa yang ditulis dengan khat kufi klasik . Naskhah al-Quran ini kembali kepada kurun 8 hijrah dan termasuk dalam naskhah-naskhah nadir . Selain itu, terdapat kitab “al-Bayan wa al-Tahsil” karangan Ibn Rush al-Jadd yang merupakan naskhah milik raja ditulis atas arahan salah seorang sultan pada tahun 720H.
    Kitab ini ditulis atas kulit rusa dengan khat andalus yang indah. Tajuk-tajuk dan hiasan pada naskhah ini ditulis dengan tulisan emas dan dikira naskhah yang paling sahih. Selain daripada itu terdapat pelbagai lagi manuskrip-manuskrip yang bernilai tinggi yang terdapat di khizanah ini. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberi kepercayaan dan tanggung jawab kepada UniSZA untuk melaksanakan Projek Pendigitalan Manuskrip Islam di Khizanah al-Qarawiyyin.
    Seruan ini disambut baik oleh pihak UniSZA dengan mengambil inisiatif untuk mendigitalkan manuskrip-manuskrip terpilih yang terdapat di perpustakaan tertua di dunia ini yang mengandungi khazanah-khazanah ilmu yang sangat bernilai yang tiada di tempat-tempat pengumpulan manuskrip yang lain di seluruh dunia. Ini adalah bagi tujuan pengekalan, penyebaran serta penglestarian demi manfaat generasi kini serta akan datang.

КОМЕНТАРІ •